Baju emak di tengah bendang

Baju emak di tengah bendang

ADIK tahu emak berada dalam kegusaran yang amat sangat. Dengan kerenah abang dan kakak ipar sejak kebelakangan ini membuatkan adik tidak upaya membendung rasa. Adik terpaksa meluahkan.
Kalau dibiarkan amarah ini terpendam lama-lama, mungkin akan membentuk busut nanah yang mengeras dan akhirnya pasti meletup oleh bahang kepanasan yang diserap dari cuaca 36 darjah, siang hingga ke malam. Di masa itu, bukan sahaja tubuh adik sakit, malah seluruh warga perkampungan ini juga terpaksa menghidu bau busuk. Yang jelik nanti iyalah penghuni rumah ini, nama dan kampung kita. Si Parihin itu peduli apa! Yang penting agendanya berjaya.
“Mak panas ya? Nanti adik lajukan sikit lagi kipas ni.”
Emak diam menerima sentuhan tangan adik. Langsung tiada reaksi. Adik mengerti, setiap hari emak terpaksa menelan kepahitan! Berbondong-bondong anak-anak emak datang bertanya khabar. Namun apalah ertinya kedatangan itu, kalau mereka hanya membiarkan Si Parihin itu bercakap sesuka hatinya.
Kedengarannya amat anih. Semua anak-anak emak diam sahaja dengan permintaan Si Parihin itu, supaya sekuntum mawar yang diletakkan pada baju yang emak jahit, baju yang emak pakai naik ke pentas di tengah bendang lebih empat puluh tahun itu ditanggalkan bunganya! Apa haknya hendak berbuat begitu? Hah!
Kalau itu yang dilakukan, para hadirin di sekeliling pentas di tengah bendang itu, tidak akan menikmati keharuman mawar dari badan pemakainya. Adiklah pemakai yang akan mewarisi langkah emak, naik ke pentas untuk menjulang trofi kebanggaan. Telah empat puluh lima tahun, sejak trofi Pesawah Jaya diwujudkan, emaklah penerimanya. Kini adik mewarisi kerja emak. Adik bangga akan memakai baju berbunga ajaib jahitan emak yang sentiasa mengekalkan keharumannya walau berkali-kali dibasuh sejak berpuluh tahun lalu. Lorekan bunga dan lakaran benang yang emak cipta semasa mudanya itu, masih kemas. Masih cantik dan masih dapat mengekalkan keharumannya.
Anihkan! Sebab itulah Si Parihin marah. Parihin dengki, lalu mereka cerita kononnya, bunga pada baju emak itu sudah tidak relevan lagi dipakai ke pentas. Mana boleh tidak relevan kalau keharumannya masih terbau hingga ke saat ini! Aibnya keluarga ini kerana abang-abang seramai itu tidak upaya menyanggah pendapat Si Parihin yang pernah merempat di halaman kita! Namun adik tidak sekali-kali akan mengalah. Walau abang telah kalah, kerana menyimpan suara di dalam diri!
Adik tetap akan mempertahankan keindahan dan keajaiban ciptaan emak. Baju jahitan emak yang dipakai semasa pertama kali kampung ini memilih Pesawah Jaya, tetap menjadi kebanggaan dan masih menjadi pilihan. Adik bangga kerana emaklah Pesawah Jaya yang pertama di kampung ini. Amat-amat membanggakan adik lagi, gelaran itu tidak pernah dicabar sesiapa. Setiap tahun emaklah pemenangnya. Datanglah juri dari daerah mana sekali pun, bendang dan padi emaklah pilihan mereka. Sehinggalah pada tahun-tahun kebelakangan ini, adik menyambung usaha dan kemenangan emak kita. Pada tahun ke empat puluh lima ini, tiba-tiba saja Si Parihin memaksa adik membuang bunga mawar pada baju itu, kalau hendak naik ke pentas. Hah! Siapa dia hendak menentukan pakaian adik? Kenapa abang tidak menyanggah kehendak pendatang itu? Dari daerah terhina dan kebuluran, dia berenang ke kampung ini, diberi perlindungan. Dijadikan ahli keluarga, merengek-rengek minta emak jadikan dia menantu, bukan saja tidak mengenang, tapi sanggup memijak kepala orang yang menyuap makanan ke mulutnya.
Keputusan
Adik kesal, sungguh kesal dengan keputusan abang mengiyakan kehendak anjing yang dilepaskan dari himpitan itu. Namun apa daya adik. Abang ada suara dan tenaga yang lebih kuat dari adik. Tapi itu tidak bermakna adik akan membiarkan saja. Sungguh, jika sekiranya Parihin itu terus mencabar hak adik dan seluruh isi rumah dan warga perkampungan ini, adik akan memastikan Si Parihin dan suku sakatnya yang menumpang di tanah bertuah kita, akan terhapus dari bumi ini. Adik tidak akan membiarkan anak cucu adik menjadi warga rumah ini yang hanya menyanyikan lagu Tanah Pusaka tanpa mendapat hak mutlak sebagai pewaris yang teristimewa.
Ini janji adik. Ini sumpah adik. Adik akan menjaga tanah bertuah ini dengan nyawa adik. Bukan seperti abang yang terlalu berlembut dengan Si Parihin itu. Adik tidak akan membiarkan anak cucu adik hanya memandang simpanan lirik lagu Tanah Pusaka di dalam prem yang digantung sebagai hiasan di ruang tamu rumah saja. Ini sumpah adik. Ini janji adik. Janji yang adik sertakan dengan nyawa ini akan adik kotakan bila sampai masanya.
Adik tidak akan mengizinkan rutin emak meladeni pandangannya dengan air mata pada bingkai yang menyimpan lirik lagu pusaka yang hak mutlaknya kini kita nikmati dalam cermin kaca di ruang tamu sahaja. Dulu dan dulu-dulu lagi, keindahan lagu itu kita nyanyikan bersama. Kemegahan menapak di tanah ini kita miliki dengan rasa bahagia dan rela menumpangkan suku-sakat Si Parihin yang berenang-renang datang mahu menumpang teduh di sini. Namun hari demi hari, hak kita dicabar. Kaduk yang tumbuh di tepi acar telah menjalar liar sejak abang menyediakan junjung untuknya.
Adik pula makin terasa dikerenggakan oleh abang sendiri. Suara adik di bataskan dari menyuarakan hak. Adik tidak bebas menyanyi lagu Tanah Pusaka di laman sendiri! Adik dipaksa menjaga tutur kata kerana bimbang menyakiti emosi Parihin yang abang kahwini. Di mana hak adik sebagai pewaris tanah ini? Abang memang keterlaluan dalam menjaga hati dia! Kalaulah pendengaran emak tidak diangkat ke langit oleh Yang Maha Esa, tentu emak teramat sedih setiap hari terpaksa mendengar anak-anaknya yang sekulit dan sebahasa ini, tidak bersatu untuk mempertahankan hak emak yang melahirkan kita.
Kita yang sebangsa dan seagama ini mudah sangat dipecah kesatuannya sehingga sentiasa mengalah kepada Parihin yang semakin ego, merasa suaranya menjadi penentu setiap keputusan! Abanglah yang bersalah dalam hal ini! Abanglah yang membiarkan isterinya menghakis hak adik-adik sendiri. Sikap abanglah yang membuatkan tangan Parihin itu berani menyentuh baju emak. Tidak! Adik tidak sesekali akan mengizinkan, walau nyawa terpisah dari badan.
“Jangan rongkai bunga di baju tu!"
Jerkah adik sehabis suara dalam pakaian hitam bertanjak merah, melompat ke tengah-tengah kumpulan abang-abang yang berkumpul di ruang tamu. Matanya yang masih cerah tidak lepas memerhati lirik lagu Tanah Pusaka yang tergantung dalam bingkai cantik di ruang tamu. Sejak lagu itu tidak upaya dinyanyikan, emak menulis nota, minta lirik itu digantung di tempat yang mudah dipandang mata. Emak bukan tidak boleh bercakap, dia cuma tidak mampu mendengar.
Menikmati
Oleh kerana tidak upaya menikmati suaranya di udara, emak makin kekok hendak berkata-kata. Suaranya yang perlahan itu amat halus di pendengaran. Lalu, notalah yang memudahkan perbincangan. Si Parihin itu lari ke belakang suaminya. Abang sulung memberi perlindungan dengan kuasa vetonya. Memberi syarahan tentang sumbangan isterinya itu pada keluarga besar kita. Terus disambut abang tengah, sambil memeluk emak dan menyanyikan rangkap ketiga lagu Tanah Pusaka:
“Tanah pusaka bertuah
berbagai bangsa di dalamnya
hidup aman dan berjaga
bertekun kerja dan berjasa.”

Amat sumbang apabila lagu itu dimulai pada rangkap ke tiga! Kenapa bukan dari rangkap pertama? Hah…emak tidak juga bereaksi, pasti saja lagu itu tidak dinikmati. Lalu abang sulung bersama isteri yang menzahirkan hitam dari hatinya, berdiri di sebelah kiri emak, memberi hormat pada lirik lagu yang tersimpan dalam prem. Dengan megah menyambung- nyumbangkan lagi lagu itu:
“Aman makmur kaya raya
selama-lama hidup maju jaya
oh tanah pusaka
negaraku yang berdaulat dan merdeka.”
Semakin tidak teratur urusan dalam rumah keluarga besar ini. Kenapa abang-abang yang dulu-dulu dan dulu-dulunya lagi, memulakan nyanyian dari rangkap pertama bersama emak, kini memulai dengan rangkap ketiga? Kemudian balik ke rangkap kedua! Apakah kerana emak yang tidak boleh mendengar kini, mereka boleh melagukan sesuka hati? Hah! Adik tidak akan membiarkan kesongsangan terus berleluasa dalam rumah ini.
“Maafkan adik, abang! Maafkan adik!"
Abang sulung, abang tengah, abang cik dan abang-abang yang lain berpandangan.
“Musuh melanggar kugempur
sungguh rela kugugur kerana
kau tanah pusaka
Biar putih tulang jangan putih mata.”
Keris yang dihunus itu, adik tarikan di hadapan mereka. Kejab-kejab adik genggam, sehingga merasa sakit yang teramat sangat. Kesakitan yang tidak mampu ditahan itu jugalah, membuatkan adik tidak upaya membuka mata. Lama sangat adik menahan denyutan kesakitan tangan yang pedih hingga ke hati. Tiada sesiapa membantu.
Mana abang-abang yang memegang amanah menjaga keselamatan satu-satunya adik perempuan mereka? Sunyi. Sepi menyentap gigit kesakitan dalam dini pagi. Hah! Adik terjatuh dari mimpi! Tangan kanan patah! Ini realiti! Dalam kegelapan, adik cuba bangun mencari cahaya. Mencari emak, tapi tiada! Ke mana emak yang pergerakkannya hanya terbatas di atas kerusi roda itu pergi dalam dini pagi ini? Kalau tidak didorong, tangan emak memang tidak mampu menolak sendiri.
Baju kebanggaan emak yang adik peluk setiap masa demi mempertahankan sekuntum bunga mawar yang menghiasi dadanya, juga tiada. Kenapa baju realiti itu boleh hilang di alam mimpi? Hah! Semakin aneh hidup di bumi ini! Siapa yang melepaskan hak kami? Dengan tangan kanan yang telah terkulai, adik mengetuk pintu bilik abang-abang yang masih tidur. Mereka enggan bangun. Walau akan menyakitkan telinga dan badan mereka, adik lakukan juga. Adik tendang pintu-pintu mimpi.
“Emak hilang! Emak hilang!! Emak hilang!!!"
Dengan kesakitan tangan kanan yang terkulai dan kaki yang terdengkot-dengkot, adik jeritkan lagi di pintu-pintu yang masih mengurung mimpi. Abang-abang bangun, namun tidak seperti pakaian mimpi adik. Baju tidur mereka tidak berjenama bangsa.
“Emak hilang! Baju emak tak ada. Cari cepat! Kita kena cari balik...balikkan. balikkk!!!!"
Abang-abang masih tidak mahu celik mata.
“Tengok tu, lirik lagu Tanah Pusaka pun tak ada! Tinggal bingkai saja!"
Abang merungut marah. Ada yang masuk ke bilik. Hah! Abang masih mahu menyambung mimpi! Benarlah benar, mimpi kita tidak serupa. Si Parihin yang menjadi isteri abang sulung, menarik tangan suaminya ke bilik dengan jelingan bangga. Hah...apa daya adik, kini abang lebih sayangkan mimpi bersama isteri, dari seorang ibu yang telah membesarkan lima belas kandungan. Adik bawa tangan terkulai, meredah kesejukan dini pagi dengan kaki yang kian parah, mencari ibu yang mungkin membawa diri, kerana rajuk dengan anak-anaknya.
Ataukah mungkin, emak kita dilarikan pencolek yang hendak membuang kuntum mawar ajaib di bajunya. Baju Kedah yang akan membalut tubuh pemenang, Pesawah Jaya yang akan naik ke pentas, di tengah bendang emak untuk menerima anugerah kemenangan. Semasa mentari menjengahkan diri, barulah adik terjumpa emak di atas kerusi rodanya, memeluk lirik lagu Tanah Pusaka, sambil memerhati bajunya yang sudah tidak beraroma, dipuput bayu pagi ditengah-tengah bendang emak sendiri. Siapakah yang memakaikan baju, ke rangka orang-orang itu?